Jom ke Yunokawa Onsen, antara pusat peranginan kolam air panas utama di Hokkaido!

[Kemaskini terakhir 2024/12/31]
Yunokawa Onsen terletak di Hakodate dan merupakan kolam air panas popular yang disukai oleh orang ramai sejak dari dahulu. Kolam ini juga dikenali sebagai salah satu daripada tiga pusat peranginan kolam air panas utama di Hokkaido. Dengan akses mudah dari Lapangan Terbang Hakodate dan destinasi pelancongan popular di bandar, anda boleh berjalan-jalan di kawasan bersejarah Motomachi, nikmati trem jalanan yang romantik, dan setelah itu, boleh merelakskan diri di kolam kaki (ashiyu) untuk menyegarkan badan, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Sejarah Yunokawa Onsen
Yunokawa Onsen dianggap sebagai salah satu daripada tiga kawasan air panas utama di Hokkaido, dan asal-usul nama “Yunokawa” dipercayai berasal dari bahasa Ainu, iaitu “Yu” (air panas) + “Petsu” (sungai). Sejarah Yunokawa bermula pada tahun 1653, iaitu pada zaman Edo.
Takahiro (nama semasa kanak-kanak: Senshomaru), penguasa ke-9 dari wilayah Matsumae, sedang menderita penyakit yang sukar disembuhkan. Namun, ibunya, Seiryouin, bermimpi bahawa beliau akan sembuh berkat sebuah air panas di timur Istana Matsumae. Sebagai tanda penghargaan, klan tersebut membina semula kuil Yakushi (Ia merujuk kepada kuil atau dewan yang didedikasikan kepada Yakushi Nyorai, dewa Buddha penyembuhan dan perubatan) dan menyumbangkan loceng kuil. Inilah yang dipercayai sebagai asal-usul Yunokawa Onsen.
Tarikan utama di Yunokawa Onsen
1.Kuil Yukura ~ tempat legenda asal-usul air panas Yunokawa


Menurut cerita turun-temurun, seorang pembalak yang sedang berehat di sebuah bukit di kawasan Kuil Yukura telah menemui wap yang muncul dari kawasan paya. Beliau kemudian merendamkan tubuhnya di air panas tersebut untuk mengurangkan kesakitan. Sebagai tanda penghargaan, pembalak itu membina sebuah kuil kecil berhampiran dengan air panas dan menyumbangkan patung Buddha yang beliau buat sendiri. Kuil kecil inilah yang dipercayai menjadi ‘Kuil Yukura’ yang terdapat di kawasan Yunokawa Onsen pada hari ini.



Di sebelah kanan bangunan utama kuil, terdapat “Shinto Usagi” (Arnab Tuhan). Menurut legenda, jika anda mengusap arnab ini, permohonan doa anda akan terkabul. Di dalam kawasan kuil juga terdapat pokok suci berusia kira-kira 370 tahun, “Onko” (pokok Yew), jadi jika anda berminat, pastikan untuk mencarinya. Selain itu, terdapat juga beberapa tarikan lain seperti “Tugu Asal-Usul Yunokawa Onsen”, “Ginkgo Pembawa Keberuntungan – Ginkgo Yukura”, serta “Hammer Keberuntungan Besar” dan “Hammer Keberuntungan Kecil”. Semua ini membolehkan anda merasai sejarah panjang Yunokawa Onsen dalam suasana yang penuh dengan keheningan dan kesucian.



Selain itu, di Kuil Yukura, terdapat pelbagai jenis amulet (omamori) dan kertas ramalan (omikuji) yang boleh didapati, dengan 15 jenis “Ezomikuji” yang eksklusif di Hokkaido yang sangat popular. Antara yang menarik ialah “Ikasu Omikuji”, di mana anda boleh menarik kertas ramalan menggunakan joran, satu cara yang unik dan menghiburkan yang menarik perhatian ramai. Selain itu, terdapat juga “Omikuji Monyet Gunung Onsen” yang hanya ada pada musim sejuk, membolehkan anda menikmati tarikan yang berbeza mengikut musim.
Bagi mereka yang gemar mengumpul amulet atau kertas ramalan, tempat ini adalah destinasi yang sangat menghiburkan sehingga boleh tidak perasan masa berlalu!
- Lokasi:2-28-1 Yukawacho, Hakodate, Hokkaido
- Akses:1 minit berjalan kaki dari perhentian trem Yunokawa
- Laman utama (ada terjemahan bahasa inggeris dan mandarin)
2.Taman Botani Tropika Bandar Hakodate ~ Monyet berendam di onsen pada musim salji!



Jika anda melawat Yunokawa Onsen pada musim sejuk, ‘Taman Botani Tropika Hakodate’ adalah tempat yang wajib dikunjungi. Dari bulan Disember hingga Mei tahun berikutnya, di onsen terbuka, anda boleh menikmati pemandangan monyet-monyet yang berendam dalam air panas dengan dekat (Saru yama Onsen). Pemandangan yang comel ini sangat popular di kalangan pelancong dan menjadi tempat yang memberikan ketenangan dan kegembiraan.
Pemandangan santai monyet berendam di onsen semasa salji akan membuat anda tersenyum. Anda juga boleh memberi makan kepada monyet dengan membeli makanan di kaunter tiket. Monyet-monyet ini akan menunjukkan persembahan yang comel dengan menarik perhatian penonton dengan tepukan tangan, yang pastinya akan memikat lebih ramai pengunjung.
Selain daripada itu, terdapat pelbagai kemudahan di dalam taman botani. Ada rumah hijau tumbuhan tropika, jambangan bunga berwarna-warni, peralatan permainan kanak-kanak, dan kawasan tempat merendam kaki, menjadikannya destinasi yang sesuai untuk keluarga.
※Saruyama Onsen: Dari 1 Disember hingga 5 Mei setiap tahun
※Jika bayi monyet dilahirkan, pihak taman akan mengutamakan keselamatan dan akan mengosongkan air panas di dalam kolam. Oleh itu, operasi ‘Saruyama Onsen’ mungkin berakhir lebih awal dan anda mungkin tidak dapat melihat monyet-monyet berendam dalam air panas. Kami memohon agar anda memahami perkara ini terlebih dahulu. (Biasanya bulan April adalah puncak waktu kelahiran.)
- Lokasi:3-1-15 Yunokawacho, Hakodate, Hokkaido
- Akses:Ambil bas nombor 96 dari Hakodate Station → turun di Taman Botani Tropika (masa yang diperlukan: lebih kurang 20 minit)
- Waktu operasi taman:
- April ~ Oktober:9:30〜18:00
- November ~ Mac:9:30~16:30
- Cuti : 29 Disember ~ 1 Januari
- Bayaran masuk :
- Orang awam 300 yen
- Pelajar sekolah rendah/menengah bawah 100 yen
- Laman web
- Leaflet (English)
- Leaflet (簡体語)
3.Kolam air panas khas untuk merendam kaki ~ Nikmati masa santai yang hangat


Kolam Kaki Air Panas Yunokawa, terletak berdekatan dengan perhentian trem Yunokawa Onsen di Hakodate, sangat popular dalam kalangan orang lokal. Rendaman kaki percuma ini boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja. Pada musim sejuk, merendam kaki dalam air panas akan memberi kehangatan dan membuatkan kita lebih relaks. Silalah singgah dan berhenti seketika untuk ‘healing’ di sini.
※Sila bawa tuala untuk mengelap kaki ketika melawat.
- Lokasi:1-16-5 Yunokawa-cho, Hakodate,Hokkaido
- Akses:1 minit berjalan kaki dari perhentian trem Yunokawa Onsen
- Waktu operasi :9:00-21:00
- Laman web (JP)
4.Nikmati makanan gourmet tradisional Hakodate



Di kawasan Yunokawa Onsen, terdapat banyak restoran terkenal dan kedai lama yang masih mengekalkan rasa tradisional. Selepas bersantai di kawasan air panas, anda boleh mencuba hidangan yang mengecurkan air liur. Kedai ‘Yaki Dango Gingetsu’ yang telah beroperasi selama kira-kira 60 tahun, menyajikan dango bakar tradisional Jepun dengan tekstur kenyal (dengan perisa seperti bijan, shoyu, pes kacang merah, dan perisa bermusim), yang cukup digemari oleh penduduk tempatan dan pelancong selama bertahun-tahun. Sambil berjalan-jalan di jalanan yang penuh dengan pesona, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan yang lazat!
- Lokasi : 2-22-5 Yunokawa-cho, Hakodate, Hokkaido
- Akses:5 minit berjalan kaki dari perhentian trem Yunokawa
- Waktu operasi: 8:30~17:30
- Cuti : tidak tetap
Aktiviti Yunobura ~ Nikmati Yunokawa Onsen tanpa perlu menginap

‘Yunobura’ merupakan laman web yang menyediakan maklumat pelancongan dan aktiviti di kawasan Yunokawa Onsen yang perlu ditempah secara online. Pelancong boleh membuat tempahan untuk pelbagai aktiviti yang ditawarkan oleh penginapan di Hakodate Yunokawa Onsen melalui internet. Ada juga pilihan seperti mandian peribadi (private bath) yang popular di kalangan pelancong asing dan set mandian yang berbaloi, jadi anda boleh nikmati kolam air panas Yunokawa tanpa perlu menginap.
- Laman web (ada terjemahan bahasa EN、CHT、CHS)
Akses pengangkutan ke Yunokawa
- Lapangan Terbang Hakodate (kira-kira 5 minit dengan shuttle bus) → Yunokawa Onsen
- Stesen Hakodate (kira-kira 30 minit dengan trem) → Yunokawa Onsen
- Stesen Hakodate (lebih kurang 30 minit dengan bas Hakodate) → Yunokawa Onsen
- Stesen Shin Hakodate Hokuto → (Bas persiaran Hokkaido lebih kurang 1 jam 7 minit) → Yunokawa Onsen
- Laman web rasmi maklumat trafik
Penutup
Berjalan santai di lorong-lorong lama Yunokawa Onsen dan nikmatilah pemandangan sekitar serta sejarah tempatan. Di sudut-sudut dan lorong-lorong bandar, mungkin ada cerita atau kejutan kecil yang menanti anda. Anda juga mungkin akan menemui tempat yang cantik secara tidak sengaja. Apabila melawat Hakodate, pastikan untuk singgah di kawasan Yunokawa Onsen, berjalan-jalan di bandar yang menggabungkan alam semula jadi dan sejarah ini, dan nikmati masa relaks anda. Rasai pesona onsen yang kaya dengan budaya tempatan.